Jangan desak Jijoe – Beasley

Sukan

KUALA LUMPUR: Pengarah teknikal berbasikal trek negara, John Beasley menganggap kemungkinan Datuk Azizulhasni Awang untuk meneruskan kariernya adalah keputusan yang baik, walaupun belum disahkan sepenuhnya.

Beasley berkata, berkemungkinan bahawa Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu akan meneruskan kerjayanya, namun mengakui beliau memerlukan masa untuk menilai situasi semasa sebelum membuat keputusan lanjut.

Menurutnya, beliau meletakkan sasaran kepada Azizulhasni untuk bertanding dalam Piala Negara-negara tahun depan dan seterusnya fokus satu per satu untuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan mungkin Sukan Los Angeles (LA) 2028.

“Saya rasa ianya perkara yang baik sekiranya Azizulhasni meneruskan kariernya. Kami merasakan beliau akan kembali berkayuh, namun kami perlu memberi masa untuk beliau bertenang atas perkara yang terjadi di Olimpik Paris 2024.

“Bagaimanapun, sasaran beliau tahun depan ialah Piala Negara-negara. Pada 2026, sekiranya dia berprestasi baik di Sukan Asia, sudah tentu kami akan melihat jauh untuk LA 2028,” kata Beasley.

Terdahulu, Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju untuk mengekalkan Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan, tetapi dengan syarat bahawa pelumba berusia 36 tahun itu layak untuk Kejohanan Dunia Lumba Basikal Trek UCI 2025 di Santiago, Chile, pada Oktober 2025.

Bagaimanapun, MSN memberi PKBM sehingga 31 Disember untuk mengesahkan penyertaan Olimpian itu dalam Program Podium tahun depan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Azizulhasni yang merancang untuk berjumpa dengannya pada bulan ini dianjak ke Januari depan berikutan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan.

“Azizulhasni masih belum berjumpa dengan saya. Beliau akan memberi tarikh selewat-lewatnya pada bulan Januari depan untuk mengaturkan pertemuan,” kata Hannah.-UTUSAN