Dominic tekad atasi Singapura, elak dibolosi

Sukan

PETALING JAYA: Kapten Harimau Malaya, Dominic Tan mengakui sama ada Malaysia melepasi peringkat kumpulan Piala ASEAN 2024 semuanya hanya akan terjawab pada hari ini apabila skuad kebangsaan di jadual menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia berada di kedudukan ketiga kurang dua mata di belakang Singapura yang mengumpul enam mata berdepan misi wajib menang ke atas skuad The Lions manakala Thailand sudah pun mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengumpul sembilan mata.

Pemain berusia 27 tahun itu turut menggesa rakan-sepasukannya agar memanfaatkan peluang beraksi di Bukit Jalil berikutan peluang Harimau Malaya untuk melepasi peringkat kumpulan masih terbuka.

“Saya fikir tidak banyak yang perlu diperkatakan tentang kepentingan perlawanan ini. Kami bermain di laman sendiri.

“Ia adalah perlawanan penentu untuk kami dan untuk mereka juga. Jadi, apa yang penting ialah kami perlu pergi ke sana dan percaya, esok (hari ini) di laman sendiri, dan sangat penting bagi kami untuk mendapatkan keputusan yang baik esok (hari ini),” katanya.

Dalam pada itu, Dominic menegaskan masalah tunggakan gaji yang berlaku terhadap beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) tidak menjejaskan persiapan pemain Harimau Malaya.

“Kami adalah profesional. Apa jua isu kewangan yang berlaku tidak seharusnya mempengaruhi cara kami bermain di padang. Setiap perlawanan sebagai seorang profesional, kami ingin memberi yang terbaik.

“Berdepan Singapura adalah sesuatu yang saya nantikan tapi persaingan yang kuat antara kami, kita lihat esok (hari ini), kerana ini adalah aksi yang sangat penting untuk kedua-dua pasukan. Apa yang penting adalah kami keluar dan cuba untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.-UTUSAN