PKR Sabah nafi rancang angkat Mustapha jadi Ketua Menteri

Politik

KOTA KINABALU: PKR Sabah menafikan dakwaan pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT) ke-11 sebagai langkah awal untuk mengangkat Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud sebagai Ketua Menteri.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, tidak masuk akal mengaitkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai TYT ke-11 sebagai sebahagian rancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat Mustapha sebagai Ketua Menteri.

“Paparan video yang disebarkan bahawa ini rancangan Perdana Menteri untuk mengangkat Pengerusi MPN Sabah sebagai Ketua Menteri tidak masuk akal. 

“Video yang disebarkan itu berniat jahat untuk memburukkan nama Perdana Menteri seolah-olah beliau (Anwar) campur tangan atau menyalahgunakan kuasa untuk melantik Yang Dipertua Negeri Sabah.

“Ini adalah cubaan untuk memecah-belah kepimpinan kami untuk merenggangkan hubungan kami dengan rakan-rakan sama ada dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun Barisan Nasional (BN),” katanya dalam sidang akhbar PKR Sabah, semalam.

Razeef yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah berkata, soal lantikan Ketua Menteri hanya akan dibincangkan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), dan setelah ada keputusan baru akan bincang dengan rakan-rakan gabungan mengenai calon Ketua Menteri, itu memang proses biasa.

Kata beliau, seharusnya tidak timbul isu mempergunakan Yang Dipertua Negeri bagi mengangkat seorang Ketua Menteri.

“Malah, jika dilihat Mustapha bukanlah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jadi, tidak masuk akal untuk beliau diangkat sebagai Ketua Menteri. Hanya ADUN sahaja yang boleh dilantik menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Beliau yakin Musa mampu membantu negeri Sabah ke arah yang lebih baik sama ada dari segi kestabilan politik mahupun pembangunan ekonomi.

“Musa bukan calang-calang orang jadi, beri peluang kepada Musa. Kami sangat yakin pelantikan beliau akan memberi impak positif,” katanya. – UTUSAN