Bukit Jalil bakal dipenuhi pemain ke-12 Harimau Malaya

Sukan

PETALING JAYA: Harimau Malaya mendapat sokongan padu menjelang pertemuan menentang Singapura apabila setakat ini sebanyak 18,290 tiket sudah terjual bagi menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Angka tersebut dijangka terus meningkat memandangkan tiket perlawanan masih boleh dibeli secara atas talian di tickethotline.com.

Skuad kendalian Pau Marti Vicente terdesak mencari kemenangan dalam usaha mereka untuk melepasi peringkat kumpulan manakala keputusan seri sudah memadai buat Singapura.

Ini kerana Malaysia berada di kedudukan ketiga kurang dua mata di belakang Singapura yang mengumpul enam mata manakala Thailand sudah pun mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengumpul sembilan mata.

Situasi tersebut menyamai edisi 2022 apabila langkah Singapura untuk mara ke separuh akhir disekat oleh Harimau Malaya selepas melakar kemenangan 4-1 di venue yang sama.

Bagaimanapun, Malaysia yang dibimbing bekas pengendali, Kim Pan Gon tewas agregat 3-1 kepada penyandang juara, Thailand. – UTUSAN