Bekas pemain boling kebangsaan, Allan Lee meninggal dunia

Sukan

PETALING JAYA: Bekas pemain boling kebangsaan, Allan Lee meninggal dunia pada usia 83 tahun akibat sakit tua di kediamannya dekat sini, semalam.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, mayat Allan akan di bawa ke Krematorium Gui Yuan Petaling Jaya, esok, sebelum disemadikan.

“Dengan berat hati kita mendapat perkhabaran Allan Lee telah meninggal dunia, pemergian beliau satu kehilangan besar buat komuniti sukan boling Malaysia.

“Allan merupakan seorang individu luar biasa yang telah memberi sumbangan besar dan menjadi kebanggaan kepada negara,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Maradona, sebagai atlet kebangsaan, sumbangan Allan bukan setakat di pentas Sukan SEA, malah, mendiang juga merupakan pemenang pingat gangsa dalam acara trio pada Sukan Asia 1986 di Korea Selatan.

Jelas beliau, sumbangan Allan kepada Malaysia tidak terhenti selaku seorang atlet, tetapi, beliau juga menyumbang khidmat baktinya sebagai jurulatih.

“Peranan penting mendiang dalam pembangunan atlet di peringkat akar umbi dan usaha keras beliau sebagai perintis Program Pembangunan Sukan Negara pada 1990 telah meninggalkan impak yang tidak dapat kita lupakan dalam sukan boling,” ujarnya.

Maradona memberitahu, legasi yang ditinggalkan mendiang sebagai mentor serta komitmen bagi memupuk bakat atlet muda akan dikenang dan dihormati untuk generasi akan datang.

“Ingatan dan doa kami sentiasa bersama ahli keluarga mendiang bagi mengharungi tempoh yang sukar ini.

“Sesungguhnya legasi yang ditinggalkan Allan akan terus memberi inspirasi kepada semua individu yang pernah menerima tunjuk ajar daripada beliau dan sumbang mendiang kepada sukan boling Malaysia tidak akan dilupakan,” tambahnya.

Selain pencapaiannya di Sukan Asia, mendiang turut menyumbang pingat di pentas Sukan SEA iaitu memenangi pingat gangsa dalam acara berpasukan pada Sukan SEAP 1975 di Bangkok, Thailand dan Sukan SEA 1983 di Singapura.

Selain itu, Allan juga menyumbang pingat perak dalam acara berpasukan pada Sukan SEA 1985 juga di Bangkok, gangsa beregu lelaki pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur dan yang terakhir Sukan SEA 1993 di Singapura selepas membawa pulang pingat perak berpasukan. – UTUSAN