Herry calon ‘hangat’ ganti Bin Shen

Sukan

PETALING JAYA: Peletakan jawatan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen membuka laluan besar untuk bekas pengendali legenda dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi untuk mengambil alih jabatan tersebut.

Herry atau lebih dikenali sebagai Herry IP turut meletakkan jawatannya baru-baru ini, selaku jurulatih Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) selepas berkhidmat selama 25 tahun.

Jurulatih berusia 62 tahun itu terkenal selepas melahirkan beberapa juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido.

Selain mereka, beliau turut melatih Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sehingga berjaya merangkul gelaran All England dan menduduki selaku No. 1 dunia.

Bagaimanapun, bermula tahun lalu PBSI menukar tugasnya kepada jurulatih beregu campuran dan Aryono Miranat mengambil alih jabatan beregu lelaki.

Ketika ini, PBSI sedang merombak struktur kejurulatihan mereka dan Herry mengumumkan secara tidak rasmi beliau akan mengundur diri daripada badan induk berkenaan.

Dalam kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan bahawa Bin Shen akan meninggalkan badan induk berkenaan bermula 13 Januari depan.

Ini bermakna, BAM harus mencari pengganti untuk menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih beregu lelaki sekali gus Herry menjadi calon menghangatkan kerusi jawatan terbabit.

Bagaimanapun, BAM perlu membuat keputusan dengan teliti susulan baru sahaja melantik ketua jurulatih perseorangan negara dari Denmark, Kenneth Jonassen, yang akan memulakan tugasnya 4 Januari depan.

BAM juga harus cepat membuat keputusan untuk mengintai jurulatih berkenaan berikutan Persatuan Badminton China (BCA) menaruhkan minatnya untuk mendapat sentuhan Herry bagi memperkuatkan barisan pemain menjelang Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028. – UTUSAN