Kerajaan perlu bantu pemaju perumahan bumiputera – Nazrul Izad

Perniagaan

KUANTAN: Sektor perumahan negara terus didominasi oleh bukan bumiputera memandangkan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh kerajaan untuk sesebuah syarikat itu menjadi pemaju bidang berkenaan.

Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, menurut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), seseorang yang membina dan menjual lebih empat biji rumah, mesti mempunyai lesen pemaju serta permit iklan jualan.

“Pemaju tersebut mesti membuka akaun pemajuan perumahan yang mempunyai tiga peratus daripada kos pemajuan projek. Pemaju perumahan juga perlu memperolehi geran individu setiap lot yang akan dibina dan dijual sebelum memohon permit jualan.

“Kos yang dikenakan oleh Lembaga Jurukur Tanah terlalu mahal dan tidak sesuai untuk rumah mampu milik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nazrul Izad berkata, kerajaan perlu memberi sedikit pengecualian kepada pemaju bumiputera seperti diskaun kos geran individu dan kos deposit Akaun Pembangunan Perumahan (HDA).

“Kerajaan juga perlu menggalakkan pemaju bumiputera berkecimpung dalam sektor ini dengan memberi geran bantuan atau jaminan bank bagi membeli barang pembinaan dengan mudah.

“Kerajaan boleh melantik Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi membantu pemaju bumiputera yang semakin pupus penglihatannya pada ketika ini,” katanya.

Menurutnya, beliau berazam menubuhkan Persatuan Pemaju Perumahan Bumiputera Malaysia untuk menyampaikan suara kepada kerajaan bagi memudahkan penglibatan bumiputera dalam sektor pemaju perumahan. – UTUSAN