Top Glove catat pendapatan RM886 juta, melonjak 80% pada suku pertama 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM886 juta, pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 80 peratus tahun-ke-tahun bagi suku pertama 2025 yang berakhir pada 30 November 2024.

Menurut kenyataan, kumpulan juga meraih Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM17 juta, manakala volum jualan meningkat sebanyak 104 peratus berbanding berbanding tempoh sama 2024.

“Pemulihan kumpulan didorong oleh aliran pesanan yang kukuh dan berterusan, mendorong peningkatan kadar penggunaan kapasiti setinggi 66 peratus bagi kilang kilang yang beroperasi, sambil memperkukuh kecekapan kos.

“Pertumbuhan kukuh dalam volum jualan dipacu oleh aktiviti pengisian semula stok sarung tangan yang berterusan, serta peningkatan pesanan dari Amerika Syarikat (AS) mendahului tarif 50 peratus ke atas import sarung tangan dari China, dengan peningkatan selanjutnya dalam dijangka akan menyusul.

“Prestasi yang lebih baik juga disumbang oleh margin yang lebih sihat hasil daripada aktiviti pengisian semula sarung tangan yang berterusan.

“Pemulihan ini turut disokong oleh inisiatif Kumpulan dalam meningkatkan kualiti dan mengoptimumkan kos yang berterusan, selaras dengan komitmennya terhadap kecemerlangan operasi,” katanya.

Selain itu, pengukuhan dolar AS berbanding ringgit sepanjang suku tersebut turut membantu memperbaiki margin.

“Top Glove telah menyemak naik Harga Jualan Purata (ASP) pada Ogos dan September 2024, berikutan peningkatan kos bahan mentah dan kemerosotan dolar AS pada suku keempat tahun kewangan 2024.

“Kesan daripada pelarasan harga ini hanya mula dirasai pada penghujung suku pertama tahun kewangan 2035 dengan impak sepenuhnya dijangka akan terpapar pada suku kedua tahun kewangan 2025.

“Harga bahan mentah kekal bercampur campur dari suku-ke-suku, dengan harga purata lateks pekat getah asli meningkat sebanyak empat peratus kepada RM6.88 per kilogram (kg) , manakala harga purata lateks nitril menurun tiga peratus kepada AS$0.94 per kg.

Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove Lim Cheong Guan berkata, peningkatan luar biasa itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan pemulihan dan pertumbuhan kumpulan.

“Pencapaian ini disebabkan oleh pemulihan permintaan pasaran yang menggalakkan, yang telah secara signifikan meningkatkan pesanan jualan, keupayaan kami menetapkan ASP dan pemindahan kos, serta usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti sarung tangan dan kecekapan kos,” katanya. – UTUSAN