JDT, Terengganu belum selamat

Sukan

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC(TFC) boleh dikatakan sudah sebelah kaki mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia 2024.

Kemenangan pada aksi suku akhir pertama, di mana JDT menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur (KL) City dan Sang Penyu menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di laman lawan mencerahkan lagi peluang buat mereka.

Kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri pada aksi suku akhir kedua hari ini, bakal memberi kesukaran buat KL City mahupun Negeri Sembilan untuk bangkit membenam kelebihan dimiliki JDT serta Terengganu di laman sendiri.

Tempoh 90 minit itu bakal menjadi penentu kepada empat pasukan berkenaan untuk meneruskan kemaraan di saingan tertua Liga Malaysia itu atau sebaliknya.

Bergson jadi taruhan JDT robek gawang KL City.-IHSAN JST

Bagi pengendali JDT, Hector Bidoglio mengingatkan barisan pemainnya untuk tidak memandang rendah keupayaan KL City dan menyeru anak buahnya memburu gol awal untuk ‘mematikan’ semangat kebangkitan lawan lebih awal.

“Walaupun bermain di gelanggang sendiri yang memberi kelebihan buat JDT, kita perlu menghormati lawan dan memberi tumpuan penuh pada aksi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali tidak akan melakukan rombakan dan masih menaruh kepercayaan kepada kesebelasan utama yang diturunkan pada aksi suku akhir pertama.

“Untuk perlawanan kedua tiada rombakan, saya masih kekalkan kesebelasan utama ketika perlawanan pertama,”ujarnya.-UTUSAN