JDT waspada ancaman KL City

Sukan

JOHOR BAHRU : Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengingatkan pemainnya untuk tidak memandangkan rendah keupayaan Kuala Lumpur (KL) City pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, petang ini.

Menurut Bidoglio, kedudukan skuad Harimau Selatan masih belum selamat untuk menempah tiket ke separuh akhir dengan berbekalkan kelebihan tipis setelah menewaskan The City Boys 2-1 dalam perlawanan suku akhir pertama.

Sehubungan itu, pemain perlu mempamerkan disiplin yang tinggi dan komited sepanjang tempoh 90 minit permainan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada JDT.

“Pemain tidak boleh terlalu mendabik dada setelah berjaya menewaskan lawan dalam dua pertemuan terdahulu dalam bulan ini, KL City merupakan pasukan yang liat untuk ditewaskan.

“Justeru, walaupun bermain di gelanggang sendiri yang memberi kelebihan buat JDT, kita perlu menghormati lawan dan memberi tumpuan penuh pada aksi tersebut.

“Seperti yang selalu saya tekankan, aksi Piala Malaysia ini penting buat JDT dan kami akan berikan yang terbaik bagi memastikan trofi ini tidak terlepas dari genggaman,” katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, dia akan menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri sebaiknya dengan mengekalkan corak permainan bertenaga dan mencari gol awal bagi memberi kedudukan selesa buat pasukan tuan rumah.

Bagi tujuan itu, katanya, dia akan membariskan kesebelasan utama yang terbaik pada aksi terakhir Liga Malaysia pada tahun ini.

Tambahnya, dia percaya pengendali KL City, Miroslav Kuljanac mempunyai perancangan rapi untuk merantai jentera serangan Harimau Selatan bagi memastikan tidak terlalu berleluasa mengatur serangan.

“Menjelang pertemuan ini, kesemua pemain berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk diturunkan walaupun saya belum menetapkan siapa yang akan diturunkan.

“Saya tidak terlalu memikirkan apa muslihat yang akan digunakan pihak lawan sebaliknya memberi tumpuan untuk memperkuatkan pasukan serta strategi ampuh bagi meraih kemenangan,” ujarnya.-UTUSAN