Hormati proses demokrasi pemilihan Pengerusi PH Sabah

Politik

KOTA KINABALU: Rakan-rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu menghormati proses demokrasi dalam isu pemilihan Pengerusi PH Sabah.

Angkatan Muda Harapan Sabah dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah dilakukan menerusi proses demokrasi dengan kehadiran dan persetujuan semua parti komponen.

SALLEH JATIL

PH Sabah terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Perlembagaan PH perlu difahami dan diterima dengan berlapang dada agar isu-isu lain di Sabah yang lebih penting diberi keutamaan dan adalah lebih baik semua parti komponen memperkukuhkan jentera masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh 10 bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

VIVIAN WONG

Kenyataan bersama membabitkan Ketua Angkatan Muda Harapan Sabah, Felix Joseph Saang, Ketua Pemuda DAP Sabah, Vivian Wong dan Ketua Pemuda Amanah Sabah, Salleh Jatil itu turut menegaskan bahawa parti-parti komponen harus menghormati keputusan dibuat agar keharmonian dalam PH Sabah tidak terjejas dalam menghadapi PRN17. 

“Pemuda PH Sabah percaya rakan-rakan komponen cukup matang dalam membuat keputusan dan kerjasama kukuh yang terjalin selama ini akan diteruskan untuk memastikan PH Sabah terus relevan,” katanya.

Semalam, bekas Pengerusi PH Sabah, Datuk Seri Christina Liew memberi bayangan mungkin akan ada perubahan dalam pimpinan PH Sabah susulan keputusan pemilihan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah belum dimuktamadkan. – UTUSAN