UMNO wajar berkecil hati – Hassan Karim 

Politik

JOHOR MAHU: Kepimpinan UMNO wajar berasa kecil hati dengan dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan meninggalkan parti itu bagi menyertai PKR.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sehubungan itu berkata, perkara itu perlu dilaksana secara terhormat melalui perbincangan antara kepimpinan kedua-dua parti terlibat.

Katanya, situasi itu berlaku disebabkan tempoh lantikan Tengku Zafrul sebagai Senator hampir tamat, akhir tahun depan.

“Datuk Seri Anwar secara jujur telah beritahu ada perbincangan awal mengenainya, dan saya melihat ia dibuat mungkin kerana beliau memerlukan individu dengan kebolehan seperti Tengku Zafrul dalam kerajaannya.

“Jadi, matlamat utama bukanlah membawa masuk ahli UMNO ke dalam PKR, tetapi sebaliknya Perdana Menteri memerlukan Tengku Zafrul atas latar belakangnya dalam sektor pelaburan dan perbankan,” katanya kepada kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Perayaan Krismas Bersama Masyarakat Sarawak Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Megah Ria, Masai, di sini hari ini.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor memberitahu, Perdana Menteri perlu berhati-hati dalam perkara tersebut bagi memastikan kerjasama politik kerajaan gabungan kekal utuh.

“Saya lihat memang munasabah pemimpin UMNO berkecil hati, tetapi perkara sudah diketahui jadi ia perlu diurus dengan baik. Ini penting kerana jika UMNO tarik ‘brake’, kerajaan boleh jatuh,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada kepimpinan PKR kerana tidak mengenakan sebarang tindakan tatatertib terhadap beliau ekoran kenyataan membabitkan U-Mobile baru-baru ini.

“Saya akan terus mengeluarkan kenyataan jika merasakan terdapat keperluan, namun akan lebih berhati-hati selepas ini, mungkin akan menggunakan platform Sidang Parlimen selaku seorang Ahli Parlimen,” tambahnya. – UTUSAN