Piala Malaysia: Perak FC belum mengaku kalah

Sukan

IPOH: Perak FC belum mengaku kalah biarpun tumpas 0-1 kepada Sri Pahang dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada 13 Disember lalu.

Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd Yusri Che Lah berkata, peluang masih ada untuk anak buahnya menebus kekalahan tersebut dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Temerloh, esok.

“Kita masih mempunyai 90 minit perlawanan di padang lawan dan saya berharap pemain akan bangkit dalam perlawanan itu nanti.

“Saya tahu ia bukan tugas mudah tetapi ia juga bukan mustahil,” katanya ketika dihubungi.

Mohd. Yusri berkata, Perak beraksi baik pada perlawanan suku akhir pertama tetapi gagal menyudahkan banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Justeru, jurulatih itu mahu anak buahnya melupakan segera keperitan berikutan kekalahan itu.

Katanya, pemain perlu menumpukan perhatian kepada tugas penting yang akan menentukan hala tuju pasukan The Bos Gaurus.

“Ini perlawanan hidup mati Perak dalam Piala Malaysia musim ini. Saya yakin pemain tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya. – UTUSAN