Shereen perlu catat masa bawah 50.75s

Sukan

PETALING JAYA: Pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy perlu mencatat masa dibawah 50.75 saat (s) untuk melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun pada September tahun depan.

Pengarah teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, Sheeren ketika ini sedang berlatih bersamanya di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) sejak bulan lalu dan dijangka pulang ke Amerika Syarikat (AS) pertengahan januari depan,

“Ketika ini Shereen sedang berlatih bersama saya di Bukit Jalil. Saya mengikuti program latihan yang diberikan oleh (Derrick) White (jurulatih Sheren di AS). Beliau akan pulang ke Florida sekitar pertengahan Januari.

“Sekiranya Shereen gagal memenuhi had kelayakan (50.75s), beliau masih mampu layak ke Tokyo dengan menduduki ranking 48 terbaik dunia menjelang Ogos depan,” kata Ballard.

Untuk rekod, Shereen yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri pada Kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee, AS pada Jun lalu dengan catatan 51.79s.

Sementara itu, Sheeren berkata, beliau menjalani latihan di Malaysia bagi mengekalkan momentum sementara menunggu proses visa yang dijangka selesai bulan depan bagi meneruskan latihan di bawah kendalian White yang berpangkalan di Florida.

Shereen berkata, selain visa, beliau juga pulang ke tanah air bagi menunggu kelulusan bajet daripada MSN.

“Pada masa ini, saya telah menjalani latihan di sini selama sebulan. Saya sedang menjalani latihan kecergasan dan semuanya berjalan dengan baik. Sasaran utama saya adalah untuk layak ke Kejohanan Dunia, Kejohanan Olahraga Asia dan Sukan SEA Thailand 2025.

“Sekiranya saya sempat ke AS, saya harap dapat bertanding dalam olahraga dalam dewan dan cuba untuk layak ke Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia di Nanjing, China,” kata Shereen.-UTUSAN