Bournemouth malukan United di Old Trafford

Sukan

MANCHESTER: Manchester United bakal menyambut Krismas dengan suasana suram selepas tumpas 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Ruben Amorim tumpas buat kali keempat dalam sembilan perlawanannya sejak dilantik sebagai pengurus baharu United.

Dalam aksi itu, Bournemouth mendahului separuh masa pertama menerusi Dean Huijsen pada minit ke-29 menerusi tandukan menarik untuk menewaskan Andre Onana.

Bersambung babak kedua, Bournemouth berjaya menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Justin Kluivert pada minit ke-61.

Gol berkenaan bagai mencetuskan semangat Bournemouth apabila dua minit kemudian anak-anak buah Andoni Iraola meledak gol ketiga menerusi Antoine Semenyo.

Ketinggalan 0-3, anak-anak buah Amorim cuba bangkit, namun segala gerakan yang direncanakan berjaya dihalang dengan kawalan kemas pemain Bournemouth.

Keputusan itu menyaksikan United kekal di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 22 mata, manakala Bournemouth di tangga kelima dengan 28 mata selepas 17 perlawanan.- AGENSI