Skuad ‘tempang’, KL City sudah jangka tewas

Sukan

JOHOR BAHRU: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Miroslav Kuljanac bagaikan sudah menjangka pasukannyan akan tewas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila beraksi dengan skuad ‘tempang’.

Kuljanac berkata, ketiadaan beberapa pemain utama termasuk Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli dan Declan Lambert yang baru pulang dari kem Harimau Malaya amat dirasai dan terdapat jurang yang lebar pasukannya dengan JDT.

Namun, dia tetap menghargai pemain muda yang diturunkan sudah melakukan yang terbaik bagi mengisi kekosongan itu tetapi belum cukup untuk menyaingi kelab gergasi seperti Harimau Selatan.

“Dalam perlawanan ini, saya terpaksa merehatkan Giancarlo Gallifuocco yang mengalami kecederaan ketika menentang Negeri Sembilan. Jadi, saya terpaksa ikut saranan doktor demi kebaikannya.

“Begitu juga dengan Ryan Lambert yang tidak bersama skuad setelah dimaklumkan positif Covid-19. Maka, saya terpaksa menggunakan pemain yang ada termasuk pemain muda.

“Ia bukan tugas mudah buat mereka, namun saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan dan bermain sepenuh hati, memberi pengalaman buat mereka berdepan dengan pasukan yang lebih baik,” katanya.

Pada Disember ini sahaja, The City Boys berdepan JDT tiga kali dan tewas kesemua perlawanan.

Kuljanac berkata, aksi terbaik yang diberikan ialah ketika tewas 1-2 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di laman sendiri sebelum ini.

“Bukan mudah untuk berdepan JDT, tambahan pula perlu menentang mereka tiga kali dalam tempoh dua minggu, ia cukup memenatkan.

“Kami adalah pasukan yang pantang menyerah kalah, bagaimanapun kita perlu tahu kemampuan diri. Ini adalah perlawanan yang sukar,” katanya.

Mengenai situasi Brendan Gan yang diusung keluar pada babak pertama, dia berharap kecederaan yang dialami tidak serius dan mampu kembali menyertai skuad KL City bersama pemain lain yang dalam proses pemulihan seperti Kamal Azizi Zabri, Jovan Motika dan Kenny Pallraj.-UTUSAN