JDT, Terengganu rebut slot final

Sukan

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC akan berentap di separuh akhir Piala Malaysia bagi merebut tiket ke final dengan kedua-dua pasukan mempunyai misi yang perlu dilunaskan.

Perlawanan pertama separuh akhir akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 17 Januari ini, manakala aksi timbal balik berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Februari depan.

JDT pastinya akan turun dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan, manakala skuad Sang Penyu mahu menebus kekecewaan selepas mereka tumpas 1-3 pada aksi final musim lalu kepada Harimau Selatan.

Berdasarkan reputasi semasa, Harimau Selatan yang gah di puncak Liga Super ketika ini pastinya memiliki kelebihan berbanding Terengganu, namun dua aksi separuh akhir nanti bakal menjadi penentu.

Harimau Selatan menerusi pengendalinya, Hector Bidoglio sudah melaungkan amaran awal bahawa mereka tidak gentar untuk berdepan mana-mana pasukan bagi mempertahankan Piala Malaysia.

“Kita semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia. Jadi, kita tidak boleh terlalu berpuas hati, sebaliknya perlu bekerja lebih keras untuk kekal konsisten,” katanya.

Dalam pada itgu, pengendali Terengganu, Badrul Afzan Razali percaya anak-anak buahnya akan memberikan komitmen penuh untuk beraksi cemerlang dalam pertarungan berdepan JDT.-UTUSAN