Bursa Malaysia tambah baik keperluan penyenaraian

Perniagaan

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) mengumumkan penambahbaikan kepada keperluan pelaporan kemampanan dalam Keperluan Penyeneraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE agar sejajar dengan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF).

Menurut kenyataannya, penambahbaikan kepada keperluan penyenaraian itu bertujuan untuk menggalakkan penggunaan Keperluan Am IFRS S1 untuk Pendedahan Maklumat Kewangan Berkaitan Kemampanan dan Pendedahan Berkaitan Iklim IFRS S2 sebagai piawaian asas untuk pelaporan kemampanan di Malaysia.

Katanya, penambahbaikan ini direka bentuk untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti cara penerbit tersenarai mengurus risiko dan peluang berkaitan kemampanan (SRO) menggunakan piawaian yang diiktiraf di peringkat global.

Jelasnya, ini seterusnya mengukuhkan daya tahan perniagaan dan memudahkan rujukan dan perbandingan oleh pelabur.

“Di bawah keperluan yang dipertingkatkan, penerbit tersenarai mesti menyediakan penyata kemampanannya dalam laporan tahunan selaras dengan Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS,” katanya.

Selain itu, Bursa Malaysia berkata, syarikat tersenarai mesti terus memasukkan maklumat dalam Penyata Kemampanan termasuk metrik dan sasaran yang menunjukkan prestasi penerbit tersenarai dan kemajuan SRO untuk tiga tahun kewangan terakhir secara bergilir-gilir, bersama-sama dengan ringkasan data tersebut dalam format yang ditetapkan.

Tambahnya, mereka juga perlu menyediakan pernyataan sama ada penerbit tersenarai telah tertakluk kepada Penyata Kemampanan kepada semakan dalaman oleh juruaudit dalamannya atau jaminan bebas yang dilaksanakan mengikut piawaian jaminan yang diiktiraf.

“Menyedari tahap kematangan dan kesediaan yang berbeza-beza dalam kalangan penerbit tersenarai, keperluan yang dipertingkatkan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Penerbit tersenarai Pasaran Utama besar (iaitu, mereka yang mempunyai permodalan pasaran RM2 bilion dan ke atas) akan mula menggunakan Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS untuk tempoh pelaporan tahunan pada 1 Januari 2025 dan seterusnya.

“Ini diikuti oleh baki penerbit tersenarai Pasaran Utama pada 1 Januari 2026 dan syarikat tersenarai ACE Market pada 1 Januari 2027,” jelasnya.

Sebagai tambahan kepada penambahbaikan ini, Bursa Malaysia juga memperkenalkan pindaan yang menggalakkan penyertaan pemegang saham dalam mesyuarat agung penerbit tersenarai dengan menghendaki mesyuarat secara peribadi atau hibrid mulai 1 Mac 2025.

Bursa Malaysia juga mengukuhkan akauntabiliti penasihat penyenaraian dengan menghendaki mereka dinamakan dalam dokumen awam daripada penerbit tersenarai untuk tempoh tertentu mulai 2 Januari 2025.-UTUSAN