PETALING JAYA: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) mengumumkan keputusan Indeks Sentimen PKS meningkat kepada 55.8 pada separuh kedua 2024 berbanding 54.7 pada separuh pertama 2024.
Indeks ini mencatatkan peningkatan ketiga berturut-turut dan skor tertinggi sejak kajian ini dimulakan menunjukkan peningkatan keyakinan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
SME Bank berkata, trend peningkatan ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, jangkaan jualan yang kukuh, serta perancangan yang diperbaharui untuk pengembangan dan penciptaan peluang pekerjaan.
Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, ini mengukuhkan lagi peranan kritikal PMKS dalam trajektori ekonomi Malaysia.
Katanya, ia juga selari dengan fokus kerajaan Madani terhadap pertumbuhan mampan dan inklusif khususnya dalam mewujudkan prospek positif untuk PMKS terus maju dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dan kompetitif
“Sebagai salah satu institusi kewangan pembangunan terkemuka di Malaysia yang dimandatkan untuk memperkasakan PMKS, kami terus komited untuk terus memberikan nilai kepada PMKS melangkaui pembiayaan.
“Kajian Indeks Sentimen PKS ini mengukuhkan komitmen kami dalam menyediakan gambaran yang jelas dan ringkas mengenai landskap PMKS secara keseluruhan.
“Momentum positif yang direkodkan dalam kajian ini sekali lagi menekankan kedudukan PMKS sebagai segmen penting dalam ekonomi kita, yang menyumbang secara signifikan kepada trajektori pertumbuhan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, sorotan utama, termasuk PMKS lebih yakin terhadap pertumbuhan ekonomi dipacu oleh sektor akomodasi, perniagaan berskala besar mencatatkan tahap optimisme tertinggi, berbeza dengan sikap pesimis yang ditunjukkan pada separuh pertama 2024.
“Selain itu, perniagaan mikro tetap berhati-hati namun menunjukkan aspirasi kuat untuk mengeksport, dengan 20 peratus berhasrat memasuki pasaran luar negara, walaupun pendedahan semasa adalah minimum lima peratus.
“PMKS mungkin berdepan keuntungan lebih rendah walaupun jualan meningkat, disebabkan peningkatan kos yang meluas serta PMKS terus memacu ke arah kelestarian,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan pengambilan pekerja sebahagian besarnya dipandu oleh rancangan pengembangan perniagaan, pengembangan perniagaan menjadi tumpuan utama.
“Ini menggantikan pemasaran/penjenamaan yang telah menjadi keutamaan sejak kajian Indeks Sentimen PKS ini dimulakan pada 2022 dan impak neutral daripada subsidi bersasar, gaji progresif dan e-invois serta perniagaan mikro memiliki simpanan tunai paling rendah,” katanya.
Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee Li Qing berkata, ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar 5.2 peratus dalam sembilan bulan pertama tahun 2024.
Tambahnya, sentimen ini selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik bagi tahun 2025, di mana SME Bank menjangkakan ekonomi berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.-UTUSAN