PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mendedahkan pengalaman menentang pasangan legenda dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong buat kali terakhir di Jelajah Dunia Akhir pada awal Disember ini menjadi dorongan untuk menjadi gandingan terbaik dunia.
Si Wei yang menghuni ranking No.1 dunia itu mengumumkan persaraannya pada usia 27 tahun dan menjadikan Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China sebagai penampilan terakhirnya dalam sukan berkenaan.
Tang Jie berkata, perlawanan akhir itu memberikan pengajaran dari segi kelajuan dan juga disiplin Siwei, sekali gus menjadi pedoman untuk beliau bersama Ee Wei dalam usaha menjadi beregu terbaik dunia.
“Ketika itu (perlawanan akhir) sememangnya kita mahu kemenangan, namun kami sudah mencuba. Pada akhirnya, kita tidak mampu untuk mengatasi mereka. Akan tetapi kami gembira dapat menjadi lawan terakhir dalam karier beliau.
“Beliau (Si Wei) bukan sahaja hebat di gelanggang, namun cara dia berlatih dan komitmen luar gelanggang sangat menginspirasi saya. Di luar gelanggang beliau sangat profesional. Jadi itu yang saya harus belajar dari dia,” kata Tang Jie ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, semalam.
Dalam masa yang sama, Ee Wei turut terkesan dengan pengalaman tersebut dan melihatnya sebagai salah satu peluang keemasan untuk memperbaiki prestasi mereka pada masa kelak.
“Semua mesti tahu dia juara Olimpik dan beregu terbaik dunia. Banyak yang kami belajar dari perlawanan mereka. Itu kelebihan kami walaupun kami tewas pada aksi itu.
“Kami pun bukan senang untuk sampai ke tahap ketika ini. Kami dari bermula dari bawah juga dan orang tidak tahu kami siapa (sebelum ini). Jadi selangkah demi selangkah dan yang penting kami kekal merendah diri,” kata Ee Wei.
Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah apabila muncul beregu Malaysia pertama yang beraksi di pentas final Jelajah Dunia Akhir yang mula diperkenalkan sejak 2018.-UTUSAN