LONDON: Enzo Maresca percaya Manchester City akan kembali bersaing dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), malah turut menegaskan Chelsea bukan pencabar kejuaraan liga musim ini.
Chelsea di jadual menerima kunjungan Fulham, esok berada berada di tempat kedua dalam carta dan hanya empat mata di belakang pendahulu, Liverpool yang memiliki baki satu perlawanan.
Sebaliknya, penyandang juara, City yang memenangi empat gelaran EPL berturut-turut, ketinggalan 12 mata dari puncak selepas mengalami rekod buruk sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan pada semua pertandingan.
Namun, Maresca, yang pernah menjadi pembantu pengurus City, Pep Guardiola di Etihad, berkata: “Manchester City pada akhirnya akan berada di sana (puncak liga). Mereka berada dalam situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Setiap kali mereka bermain, mereka mengalami kecederaan, dan mereka tidak mempunyai cukup pemain pada masa ini dan pemain yang ada tidak berada dalam keadaan 100 peratus kerana mereka baru sahaja kembali daripada kecederaan, jadi ini adalah situasi yang sangat buruk.
“Kami lebih baik daripada jangkaan kami, daripada segi cara kami bermain, dan mata yang kami kumpul tetapi tumpuan utama adalah bagaimana kami boleh memperbaiki pemain dan bagaimana kami boleh memperbaiki pasukan,” katanya.
Maresca, yang sering menolak sebarang perbincangan mengenai gelaran kejuaraan untuk Chelsea, menambah: “Ini bukan mengenai tekanan (gelaran) untuk pemain atau kelab atau untuk saya, ini hanyalah realiti.
“Saya ingin mempunyai tekanan seperti itu dan berharap dapat merasainya tidak lama lagi, tetapi sebab saya katakan kami belum berada di sana, adalah kerana realitinya kami belum sampai ke tahap itu,” katanya. – AFP