Megat Shahriman sedia cabar Vikneswaran

Sukan

PETALING JAYA: Menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), Sabtu ini, bakal menyaksikan pertarungan dua penjuru bagi perebutan kerusi Presiden antara Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dan penyandang, I. Vikneswaran.

Megat Shahriman yang pernah menggalas tugas selaku Presiden PHKL untuk penggal 2019-2022 juga merupakan presiden HockAcademy.

Vikneswaran pula yang juga Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Hoki Malaysia telah menyatakan hasratnya untuk mempertahankan jawatan No. 1 tersebut.

Dalam satu kenyataan kepada media hari ini, Megat Shahriman berkata, barisan baharu yang dicalonkan pada AGM kali ini bersedia untuk melakukan perubahan lebih positif di dalam persatuan.

“Kami mempunyai beberapa perancangan dengan tumpuan diberi bagi mengembalikan pembangunan pemain atau bakat baharu termasuk juga untuk pengadil dan barisan teknikal.

“Sudah tentu infrastruktur juga akan diberi perhatian, selain memastikan hubungan lapisan komuniti terus erat,” katanya.

Menurut beliau, selain itu, program-program sosial juga akan diketengahkan yang turut melibatkan aktiviti bersama ahli-ahli gabungan.

Jelasnya, beliau juga mahu melihat liga hoki membabitkan penyertaan sekolah-sekolah di sekitar Kuala Lumpur dianjurkan dalam semua kategori peringkat umur.

“Saya juga bercadang untuk menganjurkan kejohanan hoki membabitkan kategori veteran antara kelab antarabangsa,” ujarnya.

Selain kerusi presiden, semua jawatan lain yang ditawarkan di dalam PHKL turut menerima pencalonan baharu iaitu Timbalan Presiden (tiga calon), Naib Presiden (10 calon), Naib Presiden Wanita (dua calon), Setiausaha (dua calon) dan Bendahari (dua calon).

Bagi kerusi Timbalan Presiden akan menyaksikan Muhamad Fariz Mustafa bakal berdepan pencabar Joherman Amir dan Datuk Rosal Azimin Ahmad. – UTUSAN