Gagal yakinkan penaja punca tajaan sukar diperolehi

Sukan

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui kesukaran industri sukan di negara ini untuk mendapatkan keyakinan daripada penaja telah menyebabkan mereka enggan memberikan tajaan.

Hannah berkata kebanyakkan penaja mahu menyaksikan dana yang diberikan disalurkan kepada pembangunan sukan untuk atlet dan bukannya digunakan bagi pembayaran gaji.

“Saya lihat, di Malaysia kita tiada kekurangan penaja sebenarnya. Kita ada kekurangan keyakinan untuk penaja bagi duit. Apabila penaja bagi duit, mereka nak pastikan ia dibawa kepada pembangunan sukan untuk atlet.

“Mereka tak nak lihat ia dibayar gaji atau pun digunakan untuk benda bukan-bukan seperti penganjuran pertandingan.

“Seperti kita juga, apabila bagi geran padanan sukan RM30 hingga RM40 juta setahun, kita juga buat penilaian senarai perbelanjaan yang mereka bawa dalam kertas itu ada yang mungkin tak perlu.

“Ada yang anjurkan pertandingan tetapi masukkan seperti nyanyian daripada pempengaruh RM10,000. Sebenarnya tak perlu,” katanya dalam siar pod SAMBANG Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Dalam pada itu, Hannah turut memberitahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal bekerjasama dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk memberi penggredan kepada persatuan sukan.

Katanya, penggredan tersebut akan dinilai beberapa aspek antaranya daripada segi tatakelola serta penglibatan golongan wanita dalam pentadbiran persatuan sukan tersebut.

“Adakah kita boleh mencecah 30 peratus wanita dalam jawatankuasa tersebut dan penglibatan mantan atlet dalam persatuan kerana persatuan sukan ini peranan mereka bukan sekadar menganjurkan pertandingan, mereka bertanggungjawab untuk pembangunan bakat dan kursus kejurulatihan.

“Semua mengenai sukan tersebut persatuan kena memainkan peranan tetapi yang saya lihat sekarang banyak persatuan hanya datang kepada KBS minta duit. ‘Kalau tak bagi duit saya tak buat, kalau tak bagi duit saya tak ada program, saya tak bangunkan bakat’. Semua bergantung kepada MSN (Majlis Sukan Negara). Tak boleh sebenarnya,” katanya. – UTUSAN