Asia Barat, Eropah potensi baharu pasarkan durian Malaysia

Perniagaan

KUALA KANGSAR: Malaysia melihat rantau Asia Barat dan Eropah sebagai potensi baharu eksport durian negara selepas buah itu laris dijual di China.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, potensi tersebut adalah untuk produk hiliran seperti makanan yang berasaskan isi durian seperti ais krim berbanding jualan buah durian.

Katanya, fokus produk hiliran tersebut banyak diusahakan oleh pihak swasta dan kerajaan akan memberi sokongan.

“Pasaran seperti Asia Barat ini, apabila melihat sebiji buah durian, mereka berasa ‘gerun’ dan tidak memakannya. Tetapi produk seperti ais krim atau roti yang berasaskan durian itu, mereka makan.

“Jadi apabila kita mempromosikan durian, tidak semestinya mereka perlu membeli buah durian. Tetapi membeli produk hiliran berasaskan durian. Produk sebegini digemari termasuk di Eropah

“Produk hiliran ini cukup penting bagi buah durian kerana dimakan oleh semua orang, contohnya orang Jepun. Jika kita beri mereka sebiji buah durian, mereka agak terkejut kerana tidak biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini semasa mengadakan lawatan kerja ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar.

Mohamad berkata, usaha untuk meneroka pasaran baharu sedang diusahakan menerusi promosi oleh pihak kedutaan Malaysia di negara asing.

Beliau pada masa sama tetap melihat pasaran China sebagai keutamaan memandangkan masih terdapat ruang pasaran baharu dalam negara yang berpolulasi 1.4 bilion orang tersebut.

“Walaupun ada saingan daripada Vietnam, Filipina dan Thailand. Saya yakin durian Malaysia menjadi pilihan utama.

“Saya sendiri hadir ke pasar raya di sana. Saya lihat durian Malaysia yang dijual pada pukul 1, pukul 4 sudah habis walaupun harga agak mahal,” katanya.