Kerajaan komited melaksanakan pelbagai strategi untuk terus mengurangkan beban hutang kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan negara sejajar dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Barjoyai Bardai berkata, hal itu termasuk melalui penyasaran semula subsidi diesel yang menyaksikan pengapungan harga bahan api itu di Semenanjung Malaysia.
“Penyasaran subsidi diesel dilihat amat berjaya dan dijangka dapat mengatasi masalah penyalahgunaan, penyeludupan dan pembaziran.
“Sejumlah RM5 billion boleh dijimatkan daripada inisiatif ini dan akan digunakan untuk menambah subsidi SARA kepada lebih 9 juta warga negara yang memerlukan,” katanya.
Mengenai peningkatan perkhidmatan awam, Barjoyai berkata, kerajaan hari ini lebih peka pada perkembangan dalam disiplin pengurusan dan kaedah strategik untuk tingkat prestasi.
Menurutnya, transformasi digital yang membudayakan penggunaan teknologi dalam pengurusan perkhidmatan awam melalui kecerdasan buatan (AI) misalnya dapat memperkemas proses dalam pentadbiran awam agar memastikan sektor itu berfungsi dengan lebih efisien, efektif dan responsif kepada keperluan rakyat.
“Kalau dulu sektor awam dan kakitangan dianggap sebagai penyokong dalam kerja-kerja pembangunan, tetapi hari ini mereka dianggap sebagai peneraju dan pemangkin.
“Bagaimana mereka lakukan ini? Pertama, dengan kenaikan gaji supaya mereka mempunyai azam baru untuk menyumbang bukan saja dalam aspek yang mereka mahir sekarang, tetapi perlu melihat perubahan pada keperluan dan kemahiran dalam mengurus sektor awam.
“Hari ini setiap orang yang menjawat jawatan dalam sektor awam atau swasta perlu memiliki kemahiran menguruskan AI kerana ia sudah menjadi keperluan asas dalam pekerjaan.
“Jadi, untuk kekal relevan, mereka perlu mempelajari AI dan mengaplikasikannya kerana ia berupaya meningkatkan produktiviti dengan banyak selain memudahkan pekerjaan dilakukan,” katanya.
Kerajaan Madani bertekad melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang menjunjung prinsip tatakelola yang baik bagi memacu produktiviti.
Melalui ucapan Belanjawan 2025 yang lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam akan digubal meliputi tiga anjakan besar iaitu mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menumpukan lima keberhasilan meliputi penghayatan nilai dan tatakelola, pembangunan modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan dan sinergi strategik awam dan swasta.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini?
Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].