PETALING JAYA: MINI, jenama automotif kompak premium memperkenalkan MINI Countryman S ALL4 baharu, sekali gus memperluaskan keluarga MINI baharu di Malaysia dengan varian berkuasa petrol dengan pemasangan tempatan untuk setiap gaya hidup dan cita rasa.
Model ini dijual pada harga kira-kira RM259,000, manakala yang didatangkan dengan pakej waranti dan servis lanjutan pada kira-kira RM270,000.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, 2024 merupakan tahun yang signifikan buat MINI di Malaysia, menerusi pengenalan buat julung kalinya konsep ‘Karisma Kesederhanaan’ terhadap generasi baharu MINI yang mengetengahkan reka bentuk asas, fungsi dan pesona abadi, sejajar dengan semangat MINI.
“Hari ini, kami amat teruja untuk memulakan 2025 dengan memperkenalkan MINI Countryman S ALL4 baharu pemasangan tempatan dalam portfolio kami.
“Ini memperluaskan horizon keluarga MINI baharu untuk pelanggan di Malaysia serta menawarkan spektrum penuh serba boleh dan keterujaan yang semakin menjadi pilihan MINIacs di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, MINI Countryman S ALL4 menyertai barisan MINI baharu yang ikonik di Malaysia, serta berkongsi kedudukannya yang unik dan ciri Favoured Trim dengan MINI Countryman SE ALL4 yang diperkenalkan pada tahun 2024.
Katanya, seperti rakan model elektriknya itu, MINI Countryman S ALL4 juga mempunyai penampilan yang unggul iaitu lebih tinggi dan lebih panjang berbanding model terdahulu, namun masih mengekalkan identiti MINI.
“Dimensi baharu ini menawarkan ruang yang lebih luas, keselesaan yang dipertingkatkan dan keselamatan yang lebih tinggi, menjadikannya sebuah kenderaan serba boleh serta mesra keluarga.
“Selain itu, rangkaian kuasa pacuan semua roda MINI Countryman S ALL4 baharu, reka bentuk crossover yang tahan lasak, profil menegak dan lebar antara tayar yang ditingkatkan menjadikannya model yang sempurna untuk pemanduan harian dan pengembaraan luar,” ujarnya.
MINI Countryman S ALL4 baharu hadir dengan pilihan warna luaran yang segar dan ekspresif yang menggambarkan ciri pengembaraan iaitu hijau Smokey, biru Slate, merah Chili, perak Melting, putih Nanuq dan biru Blazing, manakala warna dalaman MINI Countryman S ALL4 baharu tersedia dalam warna gelap Petrol. – UTUSAN