‘Peguam nasihat jangan ulas lagi isu Titah Adendum’

Politik

KOTA BHARU: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dinasihatkan peguam supaya tidak meneruskan ulasan mengenai isu Titah Adendum di akaun Facebooknya.

Kata beliau, alasan yang diberikan oleh peguam berkenaan adalah siasatan dan proses perundangan tertentu berhubung isu tersebut masih berjalan.

“Dalam hantaran di laman Facebook (pada 6 Januari lalu), saya tulis Titah Adendum  itu wujud tiga bulan sebelum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menfailkan permohonan di mahkamah dan mempersoal apa kerajaan buat.

“Saya juga buat ulasan mengenai keputusan mahkamah dalam hantaran lain pada hari sama. Cuma saya dinasihatkan oleh peguam supaya tidak ulas lebih lanjut kerana ada proses siasatan dan undang-undang tertentu masih berjalan,” katanya pada Program Ceramah Isu Semasa di Gelanggang Seni, di sini malam tadi.

Katanya, bagaimanapun beliau dan majoriti rakyat masih ingin tahu jika benar kerajaan menyembunyikan Titah Adendum itu.

Beliau turut mempersoal mengapa tiba-tiba Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar mengesyorkan kerajaan mendedahkan butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan atas kapasiti politik selaku Pengerusi Biro Politik Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Agak pelik apabila beliau pilih mengeluarkan kenyataan itu atas kapasiti politik dan melalui media sosial. Beliau adalah setiausaha politik Perdana Menteri dan bukankah lebih mudah jika beliau bertemu serta menyampaikan terus saranan itu kepada majikannya?

“Beliau mahu jadi ‘hero’ dengan buat kenyataan secara umum tetapi akhirnya menteri yang datang dari parti sama dengan beliau menyatakan butiran mesyuarat itu tidak akan didedahkan. Ini memeningkan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, selaku seorang Perdana Menteri, Anwar perlu sedar apa sahaja yang beliau cakap, ulas atau ucap boleh mendatangkan kesan besar dalam sudut polisi pentadbiran negara.

“Jika mahu diungkit kembali sekitar 2023,, Anwar selaku Presiden PKR pernah menegaskan ‘kalau ikut sejarah Melayu, pengkhianat mesti kena sula’.

“Hari ini saya ingin tanya beliau balik. Jika benar seperti dikatakan, maka dalam isu Titah Adendum disembunyikan ini siapakah yang kini perlu disula?,” katanya. – UTUSAN