Sri Pahang buru kemenangan di Paroi

Sukan

KUANTAN: Sri Pahang FC mahu tiga mata penuh menjadi milik mereka dalam aksi menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, tiga mata itu boleh membantu skuad Tok Gajah memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super yang kini kurang memberangsangkan.

Ketika ini, Sri Pahang berada di tangga ke-10 dengan mengumpul 15 mata daripada 14 perlawanan dan ia bukan sesuatu yang menyenangkan sekali gus Fandi mahu pasukannya berada di kedudukan lebih baik.

Menurut Fandi, kemenangan ke atas Negeri Sembilan akan menyuntik semangat anak buahnya sebelum beraksi di separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Sabah pada 18 Januari depan.

“Sri Pahang tidak fokus kepada Piala Malaysia sahaja tetapi kita juga memberi perhatian yang sama untuk Liga Super terutama pada perlawanan menentang Negeri Sembilan ini,” katanya.

Bagi memastikan kemenangan menjadi milik mereka, Sri Pahang dijangka menurunkan kesebelasan terbaik biarpun tanpa khidmat Manuel Hidalgo yang masih bercuti.

“Hidalgo tidak akan bermain berdepan Negeri Sembilan kerana masih bercuti selepas berkahwin, manakala kedudukan Aleksandar Cvetkovic dan Stefano Brundo belum dapat dipastikan,” jelasnya.

Jentera serangan bakal diketuai Kpah Sherman dan Mykola Ahapov yang setakat ini membentuk keserasian dan Fandi turut berpuas hati dengan gandingan itu.

“Saya akui tahap kecergasan dan prestasi pemain belum mantap. Tetapi, Insya-Allah kita akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super,” katanya.-UTUSAN