PETALING JAYA: Bilangan penganggur turun kepada 546,700 orang pada November 2024, merekodkan kadar pengangguran 3.2 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi Malaysia terus kukuh menjelang penghujung 2024 membawa kepada kedudukan pasaran buruh negara yang semakin stabil pada bulan November 2024.
“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan November 2024 terus mengukuh dengan kenaikan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.29 juta orang berbanding Oktober 2024 sebanyak 17.27 juta orang.
“Kadar penyertaan tenaga buruh tidak berubah iaitu pada 70.5 peratus seperti yang direkodkan pada bulan lalu.
“Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja berada pada trend menaik, meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.75 juta orang pada November 2024, berbanding 16.72 juta orang pada Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata, bilangan penganggur terus berkurang kepada 546,700 orang, turun sebanyak 0.9 peratus daripada 551,400 orang pada Oktober 2024.
“Kadar pengangguran bagi November 2024 kekal pada 3.2 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata, sebahagian besar penduduk bekerja pada bulan November 2024 adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 74.9 peratus.
“Kategori ini menunjukkanpeningkatan marginal iaitu sebanyak 0.1 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 12.54 juta orang (Oktober 2024: 12.53 juta orang).
“Pada masa yang sama, terdapat trend peningkatan dalam kategori penduduk bekerja sendiri, dengan pertambahan 0.4 peratus kepada 3.11 juta orang berbanding 3.10 juta orang pada Oktober 2024,” ujarnya.
Mengikut sektor ekonomi, beliau berkata, sektor perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.
“Trend yang sama dalam bilangan guna tenaga juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian pada November 2024,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur.
“Kumpulan ini mencatatkan pengurangan sebanyak 0.9 peratus kepada 436,200 orang berbanding Oktober 2024 sebanyak 440,000 orang.
“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 62.6 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.0 peratus.
“Begitu juga, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turun sebanyak 0.7 peratus kepada 110,600 orang (Oktober 2024: 111,400 orang),” katanya.
Pada bulan November 2024, kadar pengangguran belia bagi mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.4 peratus, mencatatkan 300,600 penganggur belia berbanding Oktober 2024 sebanyak 10.4 peratus atau 301,500 orang.
“Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.2 peratus, dengan 415,600 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2024: 6.3 peratus; 420,200 ribu orang),” katanya.-UTUSAN