CALPE, Sepanyol: Juara olimpik dua kali, Remco Evenepoel menegaskan bahawa tubuhnya mampu berada dalam keadaan terbaik menjelang Tour de France pada musim panas ini walaupun patah tulang di beberapa bahagian akibat kemalangan pada bulan lalu.
Penunggang berusia 24 tahun dari Belgium itu memberitahu bahawa dia berasa lebih lega selepas menjalani ujian.
“Saya menjalani imbasan pagi ini dan keputusan agak baik. Saya melakukan sesi fisioterapi pertama saya selepas imbasan, jadi itu bermakna pemulihan saya boleh bermula hari ini (kelmarin) dan ini merupakan berita baik,” kata Evenepoel dalam satu sidang media video.
Ketua pasukan Soudal Quick-Step itu terlepas kem latihan bersama skuadnya di Calpe, Sepanyol setelah berehat panjang sejak 3 Disember lalu.
Evenepoel patah tangan, rusuk, dan tulang belikat selepas merempuh pintu terbuka sebuah van pos yang sedang berhenti di Brussels ketika sedang melakukan persediaan untuk musim baru.
Dia juga mengalami lebam pada paru-paru, tulang selangka terkeluar dan ligamen terkoyak.
Evenepoel tidak asing dengan kemalangan dramatik, apabila dia mengalami kecederaan serius selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter ketika beraksi di Tour of Lombardy pada 2020.
Pada April lalu, dia terlibat dalam jatuh beramai-ramai yang teruk di Tour of the Basque Country, sehingga mematahkan tulang selangka dan tulang belikat kanan. – AFP