Williams pamer jentera baharu Februari ini

Sukan

LONDON: Pasukan Formula Satu (F1), Williams bakal mendedahkan jentera FW47 yang akan digunakan bagi saingan 2025 pada 14 Februari iaitu empat hari sebelum pelancaran musim ini di sini.

Tahun ini penting bagi Williams dengan kemasukan Carlos Sainz yang berpindah dari Ferrari untuk mengetuai cabaran mereka bagi perlumbaan 2025 bersama Alex Albon.

“Ada banyak yang perlu dinantikan untuk Williams pada 2025, kami mempunyai pemandu perlumbaan yang hebat seperti Alex dan Carlos, jurutera terkemuka yang menyertai kami dan kemudahan baru yang akan mula beroperasi di ibu pejabat kami.

“Sebagai sebahagian daripada rancangan kebangkitan pasukan, kami telah bekerja untuk jentera 2025 kami sejak sekian lama dan saya tidak sabar untuk melihatnya di Silverstone pada 14 Februari ini.

“Semua orang dalam pasukan memberikan segala-galanya untuk mengembalikan pasukan ini ke tempat yang sepatutnya ketika kami menuju ke perubahan peraturan besar pada 2026. Ia akan menjadi tahun yang menarik,” kata ketua pasukan, James Vowles.

Sebagai rekod, Williams menamatkan musim 2024 dengan mengecewakan apabila tergelincir ke tempat kesembilan dalam kedudukan pengeluar F1, hanya menamatkan perlumbaan di hadapan Sauber.

Williams dibelenggu dengan kemalangan dan insiden, menyebabkan mereka mengumpul bil pembaikan yang mahal.

Pasukan dari Grove ini akan terus menggunakan unit kuasa Mercedes dan akan mengharapkan mereka menghasilkan enjin yang cemerlang, seperti yang mereka lakukan pada 2014, yang membawa Williams ke kedudukan tiga teratas dalam kedudukan pengeluar. – AGENSI