EMKAY, Global Net Travel bina resort terapung RM20j

Perniagaan

PETALING JAYA: Kumpulan EMKAY, pemaju hartanah terkemuka negara, memeterai kerjasama strategik dengan Global Net Travel Sdn. Bhd. bagi membina sebuah resort terapung di Belum, Perak dengan pelaburan berjumlah RM20 juta.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal berkata, resort berkenaan akan menyediakan 27 unit vila mewah dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2027.

“Vila terapung ini akan menjadi karya seni seni bina yang seimbang dengan persekitarannya yang semula jadi sambil meningkatkan tahap pelancongan mampan di Malaysia.

“Selain kepentingan alam sekitar, projek ini bakal memainkan peranan penting dalam merangsang ekonomi tempatan. Vila terapung ini dijangka mencipta peluang pekerjaan, merangsang perniagaan tempatan dan menarik pelancong domestik dan antarabangsa. 

“Justeru itu, Belum amat berpotensi untuk menjadi destinasi utama pelancongan eko, memacu manfaat ekonomi dan meningkatkan reputasi Perak sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan mampan,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Global Net Travel, Ken Chong berkata, kepakaran Dersyn Studio dan rekod prestasi mereka yang terbukti memastikan projek ini akan menonjol sebagai sebuah destinasi yang bertaraf dunia. 

“Vila terapung di Belum bukan sekadar pembangunan, ia adalah komitmen untuk mempamerkan kekayaan alam Malaysia sambil merangsang pertumbuhan ekonomi. 

“Kami berhasrat untuk menawarkan pengalaman yang menggabungkan pengembaraan, keselesaan dan kelestarian,” katanya. 

Resort terapung yang akan dibina di Tasik Temengor, kawasan Hutan Simpan Royal Belum-Temengor, diilhamkan daripada konsep Z9 Resort di Kanchanaburi, Thailand yang direka oleh Dersyn Studio dari Thailand.

Projek itu dijangka menggabungkan elemen kemewahan dan kelestarian, memberikan pengalaman unik kepada pengunjung untuk menikmati keindahan hutan hujan Belum sambil menikmati penginapan bertaraf dunia.

Lokasi Vila yang strategik, hanya dua jam pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Betong di Thailand, menjadikan resort ini berpotensi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa yang berkembang pesat.-UTUSAN