KUALA LUMPUR: “Saya mungkin akan merindui rakan seperjuangan, tetapi, saya tidak rindu bangun awal pagi.”
Itu reaksi berseloroh Vivian Hoo yang mengakhiri karier lebih sedekad lamanya dan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, menjadi hentian terakhir pemain yang bakal menginjak usia 35 tahun Mac ini.
Bergandingan dengan Woon Khe Wei sewaktu di kemuncak kariernya, Vivian adalah antara beregu wanita terbaik yang pernah Malaysia lahirkan dengan ranking tertinggi pernah dihuninya di tangga No. 9 dunia.
Ketika ditemu bual pemberita selepas dia dan Lim Chiew Sien tersingkir di pusingan kedua, kelmarin, Vivian berkata, tiada kekesalan yang berbekas di hatinya kerana berasakan sudah memberikan yang terbaik untuk Malaysia.
“Hari ini (kelmarin) akan menjadi hari yang paling saya ingat kerana saya bermain buat kali terakhir di Axiata Arena,” katanya yang mara sehingga ke suku akhir bersama Khe Wei pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Antara pencapaian terbaik Vivian ialah memenangi dua pingat emas Sukan Komanwel 2014 (Glasgow, Scotland) bergandingan dengan Khe Wei dan berpasukan campuran serta temasya 2018 (Gold Coast, Australia) bersama Chow Mei Kuan.
Selain Sukan Komanwel, Vivian-Khe Wei turut meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, pingat perak pada Kejohanan Asia 2010 di New Delhi, India dan emas Sukan SEA 2013 di Naypyidaw, Myanmar.
Vivian berkata, sejak bergelar atlet kebangsaan, banyak perkara yang dia terpaksa lepaskan terutama masanya bersama keluarga tercinta.
“Selepas ini saya mahu lebih kerap bersarapan pagi bersama mereka, kalau dulu jarang sekali berlaku, tetapi kali ini saya mempunyai masa lapang yang banyak,” katanya.
Merancang untuk membuka sebuah akademi badminton di Balakong, Selangor, kakak kepada pemain beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron itu berkata, dia mempunyai impian besar untuk membantu melahirkan lebih ramai pemain wanita yang masih kurang sehingga kini.-UTUSAN