Feroz bakal berehat panjang?

Sukan

PETALING JAYA: Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin memberi bayangan bahawa dirinya terpaksa berehat panjang untuk baki saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/25.

Beliau difahamkan mengalami kecederaan ketika sesi latihan dan bakal melupakan saingan liga elit domestik dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.

Perkara itu turut disahkan sendiri oleh Feroz yang memuat naik sekeping gambar tanpa warna dan ucapan pendek seperti sedang bersedih dengan apa yang dialami ketika ini.

“Terima kasih 2024/2025. Akan kembali lebih kuat selepas ini.

“Ya Allah, jika ini memang jalan yang aku harus tempuh, berikanlah aku kemampuan untuk melaluinya serta mudahkanlah setiap prosesnya,” kata Feroz di Instagram miliknya.

Perkhabaran itu menyaksikan Feroz menyertai Shio Hong Wan dan Syahmi Safari yang turut mengalami kecederaan dan masih belum pulih sepenuhnya.

Untuk rekod, pemain muda berusia 24 tahun itu adalah salah seorang pemain utama buat JDT dan selalu membarisi kesebelasan utama.

Difahamkan, dia terpaksa berehat panjang ekor mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sekali gus tidak akan bersama skuad Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac nanti.

Sementara itu, JDT akan melayan kunjungan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini dengan misi mengekalkan rekod tanpa kalah dan terus menerajui kedudukan teratas liga.-UTUSAN