Sikap gopoh makan diri sendiri

Sukan

KUALA LUMPUR: “Sikap tidak sabar menjadi punca kekalahan kami.”

Itu pengakuan jujur Soh Wooi Yik selepas dia dan Aaron Chia tumbang seawal pusingan kedua di tangan pasangan kembar dari Taiwan yang menghuni ranking ke-27 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 14-21, 18-21 dalam masa 47 minit pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin.

Aaron-Wooi Yik yang kini merupakan beregu No. 2 negara menjadi harapan peminat untuk menamatkan kemarau gelaran selama tujuh tahun di Terbuka Malaysia, tetapi, malangnya mereka turut mengikut jejak langkah beregu No. 3 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd. Rumsani yang terkandas di pusingan pertama.

Wooi Yik ketika ditemui pemberita berkata, dia dan Aaron terlalu gopoh untuk mengutip mata ke atas lawan yang akhirnya memakan diri sendiri.

“Kami tidak cukup sabar sehingga mengundang kesilapan sendiri, kekurangan ini perlu kami atasi, walaupun set kedua kami bermain lebih baik,” katanya.

Aaron-Wooi Yik mengulangi prestasi buruk 2023, apabila beregu No. 6 dunia itu tersingkir seawal pusingan kedua.

Kegagalan itu juga menyaksikan penantian mereka untuk menjulang gelaran pada Terbuka Malaysia terpaksa ditangguhkan ke tahun depan dan edisi 2022 masih kekal menjadi pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik kerana berjaya mara sejauh separuh akhir.

Selepas Terbuka Malaysia, Aaron-Wooi Yik bakal beraksi pada Terbuka India, minggu depan dan mereka akan terbang ke negara itu tanpa kelibat ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen yang menyertai Persatuan Badminton Hong Kong pada Februari ini.

Terkandas di pusingan kedua, bermakna kerjasama Aaron-Wooi Yik dengan Bin Shen menemui titik noktah kerana Terbuka Malaysia merupakan pentas terakhir untuk jurulatih tersebut.

Wooi Yik berkata, dia serta Aaron amat menghargai sumbangan Bin Shen terhadap perjalanan karier mereka dan mendoakan hanya yang terbaik buat jurulatih itu.

Aaron pula melahirkan rasa sedihnya tidak dapat menghadiahkan gelaran kepada Bin Shen di Terbuka Malaysia, tetapi, sekurangnya-kurangnya dekat Sukan Olimpik 2024 di Paris, pingat gangsa menjadi tanda mata.-UTUSAN

KAPSYEN: AARON Chia-Soh Wooi Yik terkandas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, di Axiata Arena, kelmarin. Foto: SHIDDIEQIIN ZON