Mahathir Rais keluar PN, Bersatu

Politik

PETALING JAYA: Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah dan Setiausaha Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan mengumumkan perletakan jawatan parti itu.

Dr. Mahathir Mohd. Rais berkata, perjuangan sudah tidak selari antara sebab tindakan itu diambil.

“Saya dengan ini melepaskan jawatan selaku Setiausaha Bersatu Wilayah dan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, serta juga mengumumkan peletakan keahlian dalam Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

“Kepada Allah SWT saya berserah,” katanya menurut butiran surat terbabit yang turut dikongsi kepada media.

Terdahulu, makluman itu dibuat melalui satu surat yang ditujukan kepada Datuk Dr. Radzi Jidin yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu dan Pengerusi PN Wilayah Persekutuan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau akan menunaikan umrah pada 22 Januari ini dan keputusan mengenai masa depannya termasuk menyertai mana-mana parti akan dibuat selepas itu.

Beliau sebelum ini lantang mengkritik perhimpunan diketuai Pas untuk menyokong Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari lalu dengan mengatakan ia mencerminkan kesediaan PN berkompromi dengan prinsipnya demi kepentingan politik.

Katanya, sabitan dan hukuman 12 tahun bekas Perdana Menteri dalam kes SRC International menjadi peristiwa penting bagi Malaysia dan menyifatkan perhimpunan solidariti itu sebagai mengecewakan.

Perhimpunan di Istana Kehakiman, Putrajaya dihadiri pemimpin Bersatu dan Pas, antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal – UTUSAN