Neymar terima bayaran gaji lumayan bersama Al-Hilal

Sukan

LONDON: Walaupun Neymar mengharungi tahun 2024 dengan penuh kesulitan di atas padang namun menurut laporan bintang Brazil itu masih menerima pakej gaji paling lumayan daripada majikannya, Al-Hilal.

Neymar sedang pulih daripada kecederaan lutut yang serius dan penjaring gol terbanyak Brazil itu bergelut dengan kecergasan hanya beraksi dua perlawanan untuk kelab Liga Pro Saudi itu sebelum hujung tahun lalu.

Jumlah minit permainan daripada dua penampilan tersebut hanya 42 minit untuk seorang pemain yang telah dilaburkan begitu banyak oleh Al-Hilal untuk membawanya masuk ke dalam liga pada musim panas 2023.

Walaupun telah berada di kelab itu selama 18 bulan, Neymar masih, hampir tidak percaya, hanya beraksi di padang sebanyak tujuh kali, namun itu tidak menghalangnya daripada memperoleh pakej gaji yang sangat tinggi.

Menurut data daripada akhbar Perancis, Foot Mercato, Neymar dipercayai telah dibayar sebanyak 84.6 juta pound (RM465 juta) untuk keseluruhan tahun 2024.

Neymar yang tidak aktif selepas jarang turun beraksi akibat kecederaan pada musim lalu, nilai pemindahannya telah merosot dengan ketara.

Menjelang akhir 2024, nilai pasaran beliau berada sekitar 12.6 juta pound (RM69 juta) menurut Transfermarkt, jauh berbeza daripada bayaran 200 juta pound (RM1.1 bilion) yang dibayar PSG untuk penyerang itu pada tahun 2017.

Berdasarkan data Transfermarkt, Neymar menamatkan tahun 2023 dengan nilai sekitar 37 juta pound (RM203 juta), menjadikannya pemain keenam tertinggi dalam penurunan nilai pemindahan pada 2024. – AGENSI