PETALING JAYA: Pas Pahang menggesa pihak yang menyembunyikan Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibawa ke muka pengadilan.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, pihaknya akan terus mempertahankan kedaulatan Sultan Pahang dan memastikan titah Baginda dihormati serta hak rakyat Malaysia dijaga.
“Pas Pahang mengutuk sebarang usaha menyembunyikan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Pengesahan kewujudan Titah Addendum berkenaan penahanan dalam rumah Datuk Seri Najib Razak itu membuktikan wujudnya usaha menyembunyikan titah YDPA oleh pihak tertentu.
“Kami merasakan bahawa ini adalah satu pengkhianatan terhadap Sultan Pahang dan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Setiap tindakan yang cuba mencemarkan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu, terutama yang melibatkan penyelewengan kuasa, adalah satu tindakan yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Najib turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakimannya.
Pengurusan kes ditetapkan pada 13 Januari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – UTUSAN