KDN terus beri aksi terbaik

Sukan

ALOR SETAR: Penolong Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya menyifatkan anak-anak buahnya masih menunjukkan semangat juang tinggi untuk beraksi meskipun pasukan itu dihimpit isu tunggakan gaji mencecah empat bulan ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, anak-anak buahnya jelas beraksi dengan baik namun dihukum dengan hanya satu kesilapan menyebabkan mereka tewas 0-1 kepada Sang Kenari.

Katanya, nasib tidak menyebelahi pasukan dari pantai timur itu kerana mereka memiliki sekurang-kurangnya tiga peluang untuk menjaringkan gol termasuk percubaan Syahir Abd. Rashid yang mengenai tiang pada minit terakhir separuh masa pertama.

“Saya berterima kasih kepada semua pemain kerana mereka tetap berjuang dan bermain dengan bersungguh-sungguh. Karakter yang ada pada mereka itu perlu dipuji.

“Saya langsung tidak rasa ralat dengan persembahan ditampilkan kerana masing-masing berjaya menjalankan tugas dengan baik walaupun kami dibarisi 100 peratus pemain tempatan.

“Jika ini sikap yang dipamerkan, saya fikir pada musim akan datang kita akan jadi lebih baik sekiranya segala masalah dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Walaupun berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak-anak buahnya, Rezal yakin mereka mampu menampilkan permainan lebih baik dalam perlawanan akan datang.

“Saya fikir pemain tempatan yang diberi peluang mengisi kekosongan ditinggalkan pemain import sebelum ini telah memainkan peranan dengan baik. Keserasian antara mereka juga bertambah baik.

“Selepas ini kita akan berusaha mencari kemenangan kerana ketika ini kami di tangga terbawah Liga Super. Saya yakin para pemain masih mahu menunjukkan prestasi terbaik kerana bola sepak merupakan karier mereka dan masing-masing sudah tentu mahu kebolehan mereka dinilai bagi menentukan hala tuju pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN