‘Tidak bernafsu’ punca Sri Pahang tumpas

Sukan

SEREMBAN: Kurang menguasai bola dan tiada kemahuan untuk menang menjadi faktor yang membawa kepada kekalahan 1-2 Sri Pahang FC kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad berkata, faktor itu bertentangan dengan NSFC yang telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan semangat untuk menang dalam perlawanan tersebut.

Katanya, walaupun pihaknya membuat pertukaran pemain ia belum mencukupi untuk memberi saingan kepada tuan rumah yang memburu kemenangan pertama di laman sendiri.

“Kami kurang menguasai bola dan ia jelas kelihatan di bahagian tengah yang agak pincang sejak awal permainan dan bersambung hingga separuh masa kedua.

“Situasi kurang kemahuan mungkin didorong oleh pemain yang baru saja kembali dari percutian terutama pemain import yang pulang ke negara mereka,” katanya kepada para pemberita selepas tamat perlawanan tersebut malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Sri Pahang mendahului NSFC, 1-0, pada minit ke-8 apabila pemain pertahanan lawan, Aliyu Audu Abu Bakar tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, kedudukan menjadi 1-1 apabila NSFC menjaringkan gol pertama pada minit ke-44 melalui Hein Htet Aung sebelum Selvan Anbualagan mengesahkan kemenangan tuan rumah dengan gol pada minit ke-59.

Fandi memberitahu, beliau tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perlawanan yang telah lepas tetapi memberi lebih tumpuan kepada pertembungan akan datang.

Jelasnya, pihaknya akan membantu para pemain kembali ke tahap lebih tinggi untuk perlawanan akan datang.

“Bola sepak bukan sentiasa mengenai skil tetapi kemahuan. Jika ada kemahuan maka semua boleh dicapai,” katanya. – UTUSAN