Pemilihan FAM makin panas

Sukan

PETALING JAYA: Suasana menjelang Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 15 Februari depan terus ‘panas’ apabila difahamkan dua Persatuan Bolasepak (FA) bersedia membuat laporan polis.

Ia melibatkan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) yang mahu membuat laporan polis berhubung salah laku individu dalam persatuan itu yang menghantar borang pencalonan pemilihan kepada Jawatankuasa Pemilihan FAM tanpa pengetahuan dan arahan daripada presiden.

Selain laporan polis, kedua-dua persatuan itu juga dipercayai mahu memanjangkan isu berkenaan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, difahamkan permohonan persatuan berkenaan untuk menarik semula borang lama dan diberikan borang pencalonan baharu, dipercayai ditolak oleh badan induk bola sepak negara itu.

Situasi tersebut akan terus menghangatkan sesi pemilihan kepimpinan FAM yang baharu selepas terpalit dengan beberapa isu panas sebelum ini.

Menurut sumber rapat, dua persatuan itu amat kecewa dengan badan induk itu apabila mereka tidak diberikan hak sepatutnya seperti diminta iaitu borang pencalonan baharu sekali gus mereka akan ke hadapan untuk menegakkan kebenaran.

“Kemungkinan besar dua persatuan ini membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati apabila mereka tidak diberikan borang pencalonan baharu.

“Mereka sudah memohon kepada FAM untuk menarik semula borang pencalonan yang dihantar sebelum ini tanpa pengetahuan presiden dan inginkan borang baharu untuk di lengkapkan semula dengan cara yang betul.

“Namun, difahamkan ketika ini, FAM masih berdiam diri tanpa sebarang jawapan kepada permintaan yang dibuat oleh MCFA serta PBNS dan itu membuat mereka agak marah dengan situasi berkenaan,”kata sumber itu.

Untuk rekod, Kongres Pemilihan FAM bakal menyaksikan perebutan pelbagai jawatan dalam badan induk bola sepak negara itu termasuk ‘kerusi’ Presiden, selepas Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya.

Sumber turut memaklumkan, Presiden FA yang ‘berang’ itu menegur pihak Jawatankuasa Pemilihan FAM agar berhati-hati dalam menerima borang pencalonan supaya menyemak terlebih dulu dengan Presiden FA.

“Presiden itu sudah berhubung dengan pihak FAM agar berhati-hati dan jangan semberono menerima borang pencalonan kerana bimbang ada pihak mengambil kesempatan untuk menyokong pihak tertentu tanpa mendapat lampu hijau Presiden.

“Presiden setiap FA juga diminta agar memantau pegawai di bawahnya yang mungkin membuat tindakan atau keputusan tanpa melalui saluran yang betul bagi mengelak kontroversi.

“Kita jalankanlah amanah yang diberikan sebaiknya. Raikanlah demokrasi secara teratur dan biarlah ahli gabungan memilih individu tepat untuk memimpin FAM,” katanya.

Kongres pemilihan FAM bakal diadakan 15 Februari ini dengan borang pencalonan akan ditutup pada Khamis depan iaitu 16 Januari ini.-UTUSAN