BUKIT MERTAJAM : Kerajaan tidak pernah berniat untuk menyembunyikan sebarang dokumen berkaitan Titah Adendum terhadap permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya, semua keputusan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Itulah dia. Bukan kita sorok (Titah Adendum). Tapi, ia adalah keputusan mutlak daripada Yang di-Pertuan Agong. Jadi, keadaan dia setakat itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Program Muhibbah Madani Anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di pekarangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, petang tadi.
Terdahulu, Anwar memberitahu, beliau antara individu terawal yang membawa perkara tersebut ke dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Di sini (Pulau Pinang) barulah saya nak jawab (berkenaan isu Titah Adendum). Dua minggu saya tak jawab.
“Siapa yang bawa? Saya bawa. Sebab apa? Sebab saya fikir, (sama ada) setuju tak setuju dengan orang itu, kita kena bagi peluang. Raja bagi pertimbangan. Jangan luahkan kita tak setuju, sampai dia nak bukakan rayuan pun tak boleh.
“Jadi, semasa mesyuarat tersebut, saya bawa hujah yang merangkumi laporan kesihatan, penjara, laporan polis sebelum ia diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong sama ada mahu menerima atau menolak permohonan tersebut,” katanya.
Baru-baru ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan tidak pernah menyembunyikan dokumen berkaitan Titah Adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Fahmi berkata, beliau sendiri sebagai Menteri Komunikasi tidak pernah melihat atau dimaklumkan mengenai dokumen berkenaan.-UTUSAN