Negeri Sembilan akhirnya menang di gelanggang sendiri

Sukan

SEREMBAN: Riak gembira terpapar pada wajah setiap pemain, pengurusan, para jurulatih dan sudah tentu para penyokong Hoben Jang Hoben apabila Negeri Sembilan FC (NSFC) mencatat kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini di laman sendiri iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Walaupun terpaksa menunggu sehingga 16 perlawanan sejak liga bermula, kemenangan itu adalah yang ditunggu-tunggu oleh semua pencinta bola sepak negeri ini yang hampa dengan 11 kekalahan dan tiga kali seri serta hanya satu kemenangan.

Ironinya, kemenangan malam tadi ke atas Sri Pahang FC dengan jaringan 2-1 seperti mengulangi kejayaan 2-0 ke atas pasukan yang sama pada 13 Julai tahun lalu di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Ketua Jurulatih NSFC, K. Nanthakumar berkata, beliau gembira dan memuji kerja keras seluruh pasukan sehingga kemenangan itu mampu menjadi realiti.

Katanya, kejayaan itu menjadi lebih manis apabila diraih di gelanggang sendiri walaupun hanya disaksikan seramai 346 penonton.

“Kami menguasai bahagian tengah sepanjang permainan dan hanya ada sedikit kesilapan pada awal permainan.

“Secara keseluruhan kita boleh nampak semua pemain di setiap posisi telah berusaha gigih untuk mencapai kemenangan ini,” katanya kepada para pemberita malam tadi.

Dalam perlawanan itu, NSFC dikejutkan dengan gol sendiri pada minit ke-8 oleh Aliyu Audu Abu Bakar yang cuba menanduk bola keluar tetapi tersasar masuk ke dalam gawang tuan rumah.

Bangkit dari kejutan itu, NSFC menyamakan kedudukan pada minit ke-44 melalui Hein Htet Aung sebelum Selvan Anbualagan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-59.

Nantha Kumar berharap momentum kemenangan di Paroi akan dibawa dalam perlawanan menentang Sabah pada 25 Januari ini.

“Tumpuan kini adalah mengutip sebanyak mata yang mungkin sebagai satu pencapaian untuk pasukan,” ujarnya.

Untuk itu, katanya, pasukan itu berharap dapat sokongan padu daripada para peminat yang mampu menyuntik semangat tinggi kepada para pemain dalam setiap perlawanan akan datang. – UTUSAN