KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menaruh harapan tinggi terhadap pelantikan Herry Iman Pierngadi sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu selepas Tan Bin Shen memutuskan untuk berkelana ke Hong Kong, Februari depan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Herry mempunyai kepakaran dan rekod kejayaan cemerlang dengan membawa Candra Wijaya-Tony Gunawan dan Markis Kido-Hendra Setiawan memenangi emas Olimpik Sydney 2000 serta Beijing 2008.
Rexy yang mengenali Herry sejak bermain di kelab Bimantara Tangkas, Jakarta, Indonesia dengan yakin berkata, jurulatih berusia 62 tahun itu mampu membawa beregu lelaki negara menjadi pemain berkelas dunia sekali gus membawa pingat emas pertama Olimpik negara di Los Angeles (LA) 2028.
“Saya percaya dengan pengalaman Herry, dia boleh membantu pemain kami, terutamanya beregu lelaki. Dia telah menghasilkan juara Olimpik ketika mengendali Indonesia, juara dunia dan banyak pasangan No. 1 dunia.
“Jadi mengenai pengalamannya sebagai jurulatih, saya rasa tiada keraguan. Beliau ada sebut untuk membantu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan saya berkata ini pengalamannya yang perlu diterjemahkan.
“Saya mengharapkan dia datang, duduk dengan semua pemain, memerhatikan mereka dan merancang pelan untuk setiap pemain, terutamanya Aaron-Wooi Yik,” kata Rexy pada Sidang Akhbar Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena, semalam.
Terdahulu, Herry yang sebelum ini berkhidmat untuk Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) selama 25 tahun dipilih oleh BAM untuk menggalas tugas tersebut bermula 1 Februari ini.
Bin Shen akan menamatkan khidmatnya pada 13 Januari ini selepas menerima tawaran lumayan untuk menjadi jurulatih Persatuan Badminton Hong Kong bermula Februari ini.
Sebelum ini, nama Flandy Limpele, Paulus Firman, Lee Wan Wah, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong dikaitkan dengan kerusi panas berkenaan.-UTUSAN