FBM KLCI catat penurunan terburuk dalam lima bulan

Perniagaan

PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan penurunan terburuk dalam tempoh lima bulan terakhir, didorong keadaan semasa yang dipengaruhi oleh perkembangan dalam ekonomi global, kata penganalisis ekonomi.

Ini berdasarkan prestasi bursa kelmarin apabila ditutup rendah pada 1,585.59, selepas jatuh 16.82 mata berbanding penutup 1,602.41 Jumaat lalu.

Indeks penanda aras kemudian meneruskan penutupan negatif pada 1,576.46 di akhir dagangan semalam, susut 9.13 mata daripada penutup kelmarin walaupun dibuka sedikit tinggi pada 1,592.97.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, penurunan itu memang tidak dijangka, apabila pada Isnin, kebanyakan kaunter saham di Malaysia menurun, dan ia juga mempengaruhi semua bursa saham di ASEAN.

“Keadaan ini menggambarkan kejatuhan pasaran saham (the sea of red) di pasaran. Ketika ini, paras sokongan telah diturunkan kepada 1,500. Walaupun begitu, saya percaya ia tidak akan turun sehingga mencapai tahap tersebut.

“Bagaimanapun, pasaran dijangka akan terus tidak menentu untuk beberapa hari akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pada Isnin lalu terdapat laporan yang menyatakan Malaysia diklasifikasikan sebagai pembekal semikonduktor tahap dua.

“Laporan tersebut memberikan tanggapan bahawa Malaysia mungkin tidak sepenuhnya dipercayai oleh pengeluar dan pelabur dari Amerika Syarikat (AS).

“Kita juga melihat perkembangan di Indonesia, di mana negara itu kini secara rasmi menjadi ahli penuh BRICS (Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan).

“Ini menunjukkan pendirian Indonesia yang cenderung menjauhkan diri daripada pengaruh Amerika Syarikat. Persoalannya, adakah situasi serupa akan berlaku di Malaysia?” katanya.

Barjoyai berkata, perkembangan itu mungkin menjadi perhatian sektor korporat dan perniagaan di AS, namun begitu, Malaysia dijangka akan mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan terukur dalam hubungannya dengan BRICS.

“Oleh itu, Malaysia berkemungkinan dilihat lebih dipercayai berbanding Indonesia,” katanya.

Dari segi jangkaan Bursa Malaysia, beliau berkata, paras di bawah 1,600 mata itu dijangka tidak akan berlanjutan terlalu lama.

“Saya jangkakan perkembangan lebih jelas akan dapat dilihat dalam tempoh satu hingga dua minggu.

“Jika bursa di ASEAN mula pulih, kemungkinan besar Malaysia akan turut pulih. Kita juga sedang menanti keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS berkenaan kadar faedah yang berpotensi mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan bahawa sukar untuk menentukan berapa lama FBM KLCI berada di bawah 1,600 mata, namun, dari segi penilaian, indeks FBM KLCI berada di paras yang berdaya saing.

“Nisbah Harga Kepada Keuntungan bagi indeks FBM KLCI berada di paras 14.6 mata yang mana ia begitu rendah berbanding purata jangka panjang 17.1 mata.

“Justeru, apabila situasi ketidakpastian mula berkurang, indeks FBM KCLI seharusnya berpotensi untuk mencatatkan kenaikan seawall suku kedua tahun ini,” katanya.

Tambahnya, sentimen pasaran akan terus berjaga-jaga dalam jangka masa terdekat disebabkan para peserta pasaran akan terus memantau situasi di AS, terutamanya setelah Presiden Trump mula memegang tampuk pimpinan pada 20 Januari nanti. – UTUSAN