Izzah rangkul emas keirin wanita elit

Sukan

NILAI: Pelumba basikal Trek kebangsaan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan keunggulannya apabila meraih emas dalam acara keirin wanita elit pada Siri 1 Piala Presiden 2025, di Velodrom Nilai, hari ini.

Pada aksi final Izzah menampilkan aksi memukau meskipun berdepan cabaran sengit daripada pelumba Korea Selatan dan Hong Kong yang pernah melakar kejayaan di Kejohanan Dunia di Denmark.

Menurut Izzah, kejayaan itu menjadi titik permulaan terbaik untuk musim 2025 selepas melakukan beberapa kesilapan pada perlumbaan sebelumnya.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Banyak kesilapan lepas yang saya pelajari untuk memperbaiki diri, dan perlumbaan ini menjadi medan terbaik untuk saya aplikasikan semua ilmu tersebut,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Pelumba berusia 21 tahun itu turut mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki terutama dari segi kelajuan dan kekuatan untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pesaing kali ini sangat mencabar. Saya perlu ke perlumbaan penentuan untuk memenangi emas. Ia memberi saya pengalaman berharga untuk memperbaiki strategi dan persediaan,” katanya lagi.

Beliau juga menganggap perlumbaan pada hari ini merupakan satu permulaan baginya untuk terus memecahkan rekod peribadinya di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Walaupun saya belum dapat memecahkan rekod peribadi, saya anggap ini sebagai permulaan. Saya akan terus berusaha memperbaiki masa dan teknik perlumbaan dengan bimbingan jurulatih,” tambahnya.

Izzah turut menyatakan hasrat untuk mempertahankan prestasi cemerlang ini dalam dua siri seterusnya Piala Presiden 2025 sambil menjadikan pertandingan ini platform untuk menimba pengalaman sebelum menghadapi kejohanan lebih besar.

“Saya tidak akan berhenti di sini. Matlamat utama saya adalah kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028(LA28), dan kejayaan ini hanya langkah awal. Saya akan terus memberi yang terbaik,” tegasnya.

Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan Nur Izzah sebagai pelumba wanita elit negara dan membuktikan Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dalam sukan berbasikal trek.

Siri kedua Piala Presiden dijangka berlangsung pada 18 hingga 19 Januari ini, dan semua mata kini tertumpu kepada Nurul Izzah untuk meneruskan kecemerlangannya.-UTUSAN