Pasaran sukuk ESG global dijangka melebihi AS$50 bilion pada 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Pasaran sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global dijangka melebihi AS$50 bilion (RM222.36 bilion) dalam edaran pada 2025, menurut Fitch Ratings.

Menurutnya, pasaran sukuk ESG akan kekal sebagai salah satu alat pembiayaan utama dalam pasaran kewangan Islam di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Malaysia, dan Indonesia.

Katanya, sukuk itu juga merupakan alat pembiayaan ESG yang penting di pasaran baru muncul, dengan sekitar 20 peratus daripada hutang dolar ESG pasaran baru muncul yang diterbitkan pada 2024 (tidak termasuk China) adalah sukuk, manakala selebihnya adalah bon.

“Pemacu pertumbuhan termasuk matlamat kepelbagaian pembiayaan, peraturan yang membolehkan, inisiatif kelestarian, dan sasaran sifar bersih yang dikejar oleh kerajaan, bank, korporat, dan entiti berkaitan kerajaan.

“Sukuk ESG juga berkemungkinan melebihi 15 peratus daripada penerbitan sukuk dolar global dalam jangka masa sederhana berbanding 12.3 peratus pada 2024,” katanya dalam ulasan bukan tindakan penarafan.

Agensi penarafan itu berkata, pada 2024 pasaran sukuk ESG global berkembang sebanyak 23 peratus tahun ke tahun kepada AS$45.2 bilion (kira-kira RM201 bilion) dalam edaran, mengatasi pertumbuhan bon ESG global yang meningkat sebanyak 16 peratus.

“Sukuk ESG juga mengatasi pertumbuhan sukuk global (10 peratus), manakala sukuk hijau dan mampan boleh membantu penerbit secara oportunistik memenuhi permintaan daripada pelabur antarabangsa yang peka terhadap ESG dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia, serta pelabur Islam yang memberi tumpuan kepada sukuk dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Pasaran modal hutang ESG (dalam dolar AS) mencapai AS$46.3 bilion (kira-kira RM206 bilion) dalam edaran di negara-negara GCC, dengan 44 peratus daripadanya dalam bentuk sukuk,” katanya.

Fitch berkata, Nasdaq Dubai adalah platform penyenaraian utama terbesar bagi sukuk ESG, memegang 35 peratus daripada jumlah edaran global pada akhir 2024.

“Risiko yang dihadapi oleh pertumbuhan pasaran sukuk ESG termasuk kerumitan pematuhan syariah seperti yang berkaitan dengan ‘Piawaian Syariah AAOIFI No 62’, kelemahan dalam pemacu kelestarian, risiko geopolitik, dan ketidaktentuan harga minyak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Global Kewangan Islam Fitch Ratings, Bashar Al Natoor berkata, pasaran sukuk ESG mempunyai profil kredit yang kukuh, dengan hampir semua sukuk ESG yang dinilai oleh Fitch adalah dalam kategori gred pelaburan.

“Sukuk kini menjadi alat pembiayaan ESG utama di pasaran baru muncul, dengan pertumbuhan dijangka di tengah-tengah inisiatif kelestarian, keperluan pembiayaan, dan persekitaran pembiayaan yang menggalakkan.

“Namun, penerbitan masih tertumpu di beberapa negara sahaja,” katanya. – UTUSAN