“Sila jaga rumah sendiri, daripada sibuk dengan parti lain,”- Nurul Hidayah

Politik

Srikandi Muda Bersatu membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pergerakan Puteri Umno, Nor Akmal Muhammad berkenaan sikap sayap parti berkenaan yang dilihat lebih mencampuri urusan parti lain berbanding hal ehwal partinya sendiri.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Exco Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Hidayah Anuar menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Nor Akmal amatlah tidak masuk akal memandangkan hubungan baik yang terjalin di antara setiap parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, hubungan akrab mereka kini semakin kuat dan ampuh berbanding hubungan antara Umno dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional yang seringkali bertelagah dan tidak mencapai kata sepakat.

Beliau turut mengingatkan agar Nor Akmal tidak menyibuk hal ehwal parti lain selain menjaga rumah sendiri memandangkan BN sendiri sering meminggirkan MCA dan MIC dalam hal-hal melibatkan Kerajaan Madani.

“Di sini, saya menegaskan bahawa Bersatu tidak ada cubaan untuk menelan Pas seperti yang didakwa beliau. Kami (Bersatu) sentiasa menghormati prinsip kerjasama politik yang jujur dan berlandaskan kepentingan rakyat. Hubungan kami dengan Pas bukanlah bersifat manipulasi yang mana kami sentiasa terbuka untuk berdialog secara matang dan profesional demi kebaikan bersama,”

“Tuduhan sebegini hanya mencemarkan suasana politik berbanding usaha membangunkan negara. Kami mengamalkan sikap “Musyawarah” dalam membentuk keharmonian parti ibarat ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’, jadi sebaiknya beliau tidak perlu menjadi batu api atau pemecah belah orang Melayu,” ujarnya.

Menurut Nurul Hidayah lagi, sebarang kenyataan haruslah berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh, tuduhan tanpa asas hanya akan mencetuskan ketegangan politik dan akan menghakis keyakinan rakyat kepada intergriti pemimpin.

Beliau turut menasihatkan sebagai pimpinan muda Umno, Nor Akmal perlu bijak berpolitik terutamanya dalam menyelesaikan masalah rakyat khususnya melibatkan isu-isu penting dan kritikal seperti kos sara hidup dan harga rumah yang tinggi mencanak ketika ini.

“Daripada Puteri UMNO sibuk dengan hal parti lain, lebih baik jaga rumah sendiri terlebih dahulu. Jangan sampai gajah di hadapan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak. Banyak masalah rakyat yang perlu diutamakan berbanding mencari publisiti murahan,”

“Sepatutnya jika ada keraguan beliau perlu selidik dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Samalah seperti UMNO yang tidak berani menaikkan amarah YB Nga Kor Meng berkenaan keraguan status halal produk makanan berasaskan ‘ham’ semata-mata ingin menjaga hati dan hubungan baik demi pertahankan kedudukan yang sedia ada di tangan sekarang. Tidakkah Umno juga “bermusyawarah” dengan DAP? ujar beliau.

Sebelum ini Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia, Nor Akmal Muhammad tampil dengan kenyataan menyindir parti Bersatu sebagai ular yang ingin menelan naga dalam PN.

Beliau turut menyifatkan situasi tersebut berkemungkinan membawa kemarahan dan tentangan daripada penyokong parti Pas yang sebelum ini dilihat sentiasa bekerja keras memastikan kemenangan calon-calon Bersatu dalam PRU ke-15 lalu.