MELBOURNE: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia 2025 buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan wakil Sepanyol, Paula Badosa 6-4, 6-2 pada aksi separuh akhir, sebentar tadi.
Sabalenka yang juga juara bertahan dua kali, bermula goyah apabila ketinggalan 0-2 dalam set pertama akibat kesilapan sendiri.
Namun, pemain Belarus itu kembali menemui rentak dengan memanfaatkan forehand untuk mematahkan servis Badosa sebanyak dua kali.
Badosa turun selaku pilihan ke-11 yang mengejutkan Coco Gauff dari AS di pusingan keempat sebelum ini, gagal memberikan saingan dalam penampilan sulungnya di separuh akhir Grand Slam.
Kesilapan berganda pada servis memaksa Badosa menyerahkan kelebihan awal kepada Sabalenka dalam set kedua.
Sabalenka tidak menoleh ke belakang, mendahului 5-1 sebelum mengesahkan kemenangan menerusi forehand padu ke garisan.
Pilihan utama kejohanan itu seterusnya akan menentang pemenang perlawanan antara pilihan kedua, Iga Swiatek, dan pemain Amerika Syarikat (AS), Madison Keys, dalam pertembungan akhir pada Sabtu ini. – AGENSI