KENINGAU: Tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggelar pemimpin dan rakyat Sabah sebagai ‘palui’ (bodoh) adalah satu perbuatan yang tidak wajar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu merupakan satu penghinaan kepada pemimpin dan rakyat Sabah yang sentiasa berpegang kepada amalan berpolitik yang mementingkan keharmonian.
“Saya mahu beritahu Hamzah jangan hina orang Sabah, jangan hina pemimpin Sabah. Pemimpin sebegitu tidak wajar datang ke Sabah kerana budaya politik Semenanjung yang dibawa tidak sesuai dengan budaya dan amalan politik di negeri ini.
“Banyak pemimpin daripada seberang, saya beritahu mereka, kalau datang (Sabah) mesti sopan apabila datang negeri kita. Jangan bawa perangai dari sana ke Sabah yang harmoni dan aman damai ini,” katanya semasa berucap pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau, hari ini.
Mengulas lanjut, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Sabah tidak memerlukan pemimpin bersikap seperti itu dan mereka tidak sewajarnya datang ke negeri ini dengan membawa budaya politik dari Semenanjung.
“Kita tidak mahu pemimpin seumpama ini. Walaupun kita meraikan demokrasi tapi, budaya orang Sabah lain dengan sebelah sana (Semenanjung) berbeza. Kalau sana maki hamun, makilah kamu, tapi jangan bawa ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Hamzah Zainudin yang menyebut pemimpin dan rakyat Sabah sebagai ‘palui’ ketika berucap dalam program Perikatan Nasional (PN) di Sepanggar baru-baru ini.
Hadir sama adalah Timbalan Ketua Menteri I yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr.Jeffrey Kitingan dan Timbalan Ketua Menteri II yang juga pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam. – UTUSAN